Ellron (tengah) dan Andi merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama warga belia Tawau.
TAWAU: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100.17 juta pada tahun ini bagi tujuan perbelanjaan mengurus, pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.
Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor terhadap pembangunan sukan di negeri ini, tambahnya.
Katanya, pembinaan Taman Permainan Sukan Lasak di Kompleks Sukan Tawau juga adalah satu bukti keprihatinan Kerajaan terhadap permohonan dan suara anak muda di daerah ini.
“Majlis Perasmian Taman Permainan Sukan Lasak Tawau sememangnya ditunggu-tunggu khususnya oleh para pengiat sukan lasak di daerah ini. Petang ini, kita menyaksikan satu lagi lembaran sejarah baharu di mana kita berjaya membina satu lagi Taman Permainan Sukan Lasak selepas yang pertama di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada tahun 2009.
“Saya difahamkan ramai anak muda yang sudah tidak sabar untuk menggunakan kemudahan sukan ini selepas dibuka kepada awam,” katanya ketika berucap merasmikan majlis perasmian tersebut di Gelanggang Skate Park, Kompleks Sukan Tawau, di sini, kelmarin.
Ellron berkata, pembinaan Taman Permainan Sukan Lasak Tawau ini sudah semestinya menjadi satu platform penting untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berpotensi bermula di peringkat akar umbi.
“Selain kita menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, kita juga mempunyai misi untuk melahirkan atlet yang boleh mewakili negeri dan negara Malaysia di persada antarabangsa.
“Saya berharap fasiliti sukan ini dapat digunakan secara optimum bagi penganjuran program-program sukan dan riadah. Saya optimis, penganjuran program sukan seperti Program Sukan Berprestasi Tinggi, Program Juara, Program AKTIF (Budaya Bersukan Teras Aspirasi Famili Sihat) dan Program Pencarian Bakat Baru (TID) dapat dilaksanakan di tempat ini.
“Saya juga berharap fasiliti sukan ini dapat dikawal selia dan dijaga dengan baik khususnya agensi yang diberi mandat,” katanya, sambil menzahirkan penghargaan saya zahirkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan Taman Permainan Sukan Lasak Tawau.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan yang juga ADUN N.71 Tanjung Batu dan Ahli Parlimen P 191 Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Masly Wahip dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin.