Pemain Sepanyol meraikan kejayaan mereka mara ke final Euro 2024 selepas menumpaskan Perancis 2-1 di separuh akhir di Allianz Arena.
MUNICH: Sepanyol menepati status sebagai sukan pilihan apabila mara ke final Euro 2024 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perancis 2-1 di separuh akhir, sebentar tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam aksi di Alllianz Arena itu, Perancis terlebih dahulu di depan menerusi Randal Kolo Muani yang menanduk masuk umpanan Kylian Mbappe seawal minit kelapan.
Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Lamine Yamal berjaya menyamakan kedudukan buat Sepanyol pada minit ke-21 selepas dia melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Jaringan berkenaan sekali gus menjadikan pemain berusia 16 tahun itu menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam sejarah kejohanan Eropah.
Sepanyol mendahului empat minit kemudian selepas satu tempoh tekanan berterusan apabila Dani Olmo bertindak bijak memanfaatkan peluang dalam kotak penalti menerusi tendangan separuh voli yang mengenai pemain Perancis, Jules Kounde.
Tersentak engan jaringan itu, Perancis menggandakan asakan ke atas Sepanyol pada separuh masa kedua dan mencipta beberapa peluang bagi menjaringkan gol tetapi gagal untuk menyamakan kedudukan.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Sepanyol berjaya melangkah ke pentas final kejohanan utama sejak 12 tahun lalu.
Pasukan itu akan berdepan pemenang perlawanan antara England dengan Belanda yang akan beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir, awal pagi esok.

































