Wong Kah Woh pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. – Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbang pemberian elaun kos sara hidup untuk pelajar Tingkatan Enam bagi menggalakkan lebih ramai mengikuti pelajaran di peringkat itu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, cadangan itu sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajar memasuki Tingkatan Enam.
Tidak cukup dengan itu, katanya, kerajaan juga mempertimbang pemberian elaun untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu masih di peringkat permulaan, namun optimis merealisasikannya.
“Cadangan ini masih di peringkat permulaan, kerana Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030 baharu sahaja kami putuskan pada Mei lalu dan kami akan teruskan untuk memastikan Tingkatan Enam menjadi pilihan utama anak kita.
“KPM sentiasa komited memperkasa dan memartabat pendidikan Tingkatan Enam dari semasa ke semasa dengan mengambil kira semua aspek agar laluan ini kekal menjadi salah satu pilihan utama lepasan SPM bagi meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd. Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Berhubung penjenamaan semula Tingkatan Enam, Kah Woh berkata, KPM memberi tumpuan kepada aspek kemudahan dan infrastruktur pusat Tingkatan Enam selain mempertingkat sukatan pelajaran peperiksaan STPM.
Di bawah rancangan itu, katanya, kementerian menyenaraikan tujuh objektif antaranya menjadikan Tingkatan Enam sebagai laluan utama dan pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran.
Katanya, objektif lain adalah mempertingkat sistem pendidikan Tingkatan Enam supaya lebih menarik dan setanding dengan sistem pendidikan prauniversiti yang lain.
“(Selain itu) meningkatkan kebolehpasaran lepasan STPM sama ada dalam dan luar negara; menyediakan lebih banyak peluang kerjaya dan prospek untuk lepasan STPM; memupuk sifat kepimpinan dalam diri pelajar Tingkatan Enam serta membangunkan profesionalisme guru Tingkatan,” katanya.


































