KOTA KINABALU: Seorang peniaga dikenakan denda RM 7,000 di Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan mengaibkan Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah (SBA) dalam laman Facebook pada tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Lim Tzen Thau, 31, yang membantu ibunya berniaga kuih pau didakwa membuat hantaran yang mengaibkan Presiden SBA, Phan Chee Yong dalam laman Facebook pada 15 Oktober 2023.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan bersalah dihadapan Hakim, Noor Hafizah Mohd. Salim dan dikenakan denda RM7,000 dan jika gagal bayar denda boleh dihukum penjara selama dua bulan.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1996 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azizi Hamil.
Chee Yong membuat laporan polis pada 17 Oktober 2023 selepas melihat hantaran Facebook yang dibuat oleh Tzen Thau dalam laman Facebook bagi tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak polis.

































