Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Jeffrey D. Sachs di Parlimen, hari ini. – Facebook Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri menegaskan, Malaysia mempunyai hala tuju yang jelas dan dasar-dasar penting untuk memacu kemajuan negara.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menegaskan mengenai soal tersebut kepada pemikir terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang juga merupakan Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN), Profesor Jeffrey D. Sachs di Parlimen, hari ini.
Kata beliau, perbincangannya bersama Jeffrey meliputi pelbagai isu global dan serantau berkait dengan perihal ekonomi, teknologi dan digital, kemapanan alam sekitar serta situasi geopolitik.
“(Ini) termasuk perihal persaingan antara China dan Amerika Syarikat, dan peranan negara-negara ASEAN terutamanya Malaysia.
“Saya tegaskan bahawa Malaysia punyai hala tuju yang jelas serta dasar-dasar yang penting seperti sasaran net zero carbon pada tahun 2050, kemajuan dalam melaksana objektif-objektif Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sebagai usaha dan upaya dalam melonjak darjat dan martabat negara.
“Jeffrey dan saya bersependapat bahawa Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam meneraju soal berkaitan sains, teknologi, peralihan tenaga, digital dan kemapanan alam sekitar terutamanya menjelang kepengerusian ASEAN pada tahun 2025,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Sekretariat ASEAN bersedia untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.


































