Shahelmey Yahya (duduk-tengah) bergambar kenangan bersama pelajar cemerlang SPM di Putatan kelmarin.
PUTATAN: Kerajaan negeri sedang giat melaksanakan program mengganti paip-paip lama dan usang yang berisiko pecah dalam usaha menstabilkan bekalan air di Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, di sepanjang 1,500 kilometer saluran paip yang lama dan baharu di Sabah, ada beberapa kawasan yang mempunyai paip yang sudah berusia lebih 30 tahun seperti di Papar dan Sandakan.
Beliau, yang juga Menteri Kerja Raya berkata, mana-mana paip yang sudah berusia lebih 30 tahun dan 50 tahun dan mempunyai risiko pecah perlu diganti dan dipantau oleh jurutera-jurutera air daerah.
Di samping itu, kerajaan negeri juga sedang dalam proses memuktamadkan pelaksanaan sistem vendor dan meter prabayar di kawasan-kawasan setinggan.
“Sebenarnya sistem ini telah dilaksanakan di kawasan penempatan pelarian namun, di kawasan setinggan tempatan di Sepanggar, kita sedang muktamadkan beberapa prosedur.
“Apabila kita memberi meter prabayar tersebut, itu bukan bermakna satu pengiktirafan kepada mereka yang menduduki tanah tidak bergeran itu. Jadi, ada beberapa faktor yang kita sedang runding sebelum muktamadkan penggunaan meter prabayar di kawasan setinggan,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kawasan Parlimen Putatan, kelmarin.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) juga sedang melaksanakan operasi pemotongan sambungan paip haram di kawasan Sepanggar sepanjang tempoh enam bulan ini dan ia berjaya menstabilkan bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sebanyak 600 kes sambungan paip haram telah dipotong sepanjang operasi yang dilaksanakan sejak Januari lalu.
Jelas beliau, kejadian kecurian air bukan sahaja mengganggu tekanan air menuju ke tangki-tangki utama tetapi, ia turut merugikan kerajaan dengan tiada pungutan hasil daripada sambungan-sambungan haram berkenaan.


































