Hasmuner (depan) dan Azlan (belakang) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang.
BALIK PULAU : Perbuatan dua sahabat mencuri 17 biji durian bernilai RM4,000 milik seorang pemilik dusun, Selasa lalu mengundang padah apabila kedua-duanya didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua tertuduh, Hasmuner Ismail, 40, dan Azlan Abdul Hamid, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan berkenaan, kedua-dua mereka didakwa telah mencapai niat bersama untuk mencuri 17 biji durian di dalam dua guni milik Lee Yiew Choo, 43, di sebuah dusun di Titi Teras, kira-kira pukul 6.48 petang, 25 Jun lalu.
Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai mekanik didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Dzulkarnain.
Terdahulu, ketika prosiding, Lushani memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang setimpal sebagai pengajaran terhadap perbuatan yang dilakukan tertuduh.
Bagaimanapun, Nur Najihah merayu agar hukuman denda itu dikurangkan berikutan kedua-duanya masih menanggung ibu dengan masing-masing memperoleh pendapatan sebanyak RM800 dan RM1,000 sebulan.
Dalam rayuannya juga, Hasmuner mengaku kesilapan yang dilakukan dan mengatakan kejadian tersebut berlaku disebabkan dia tersilap sempadan tanah dusun durian milik bapanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dan sebulan penjara jika gagal membayar denda yang dikenakan.


































