Azam Azmi (dua, kiri) dikawal ketat dua pemain Sabah FC dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini.
KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) membawa bekalan selesa ke Likas selepas membenam Sabah, 4-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Skuad Penyu membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan bermula gerakan Ismaheel Akinade sebelum Manuet Ott menyudahkan gerakan satu dua bersama ketua pasukan, Safawi Rasid.
Jaringan itu menyemarakkan semangat TFC namun rembatan Ott dari kawasan berbahaya berpunca hantaran Alif Zakaria dari sebelah kiri menggegar palang pada minit ke-19.
Pasukan pelawat kemudian melancarkan serangan berturut-turut menerusi gerakan Daniel Ting menyaksikan percubaan Ramon Machado (m-23) dan Saddil Ramdani (m-24) tersasar ke sebelah tepi.
Corak permainan bertukar agresif selepas setengah jam permainan apabila layangan kad kuning diberikan kepada pemain Sabah, Telmo Castanheira serta pemain TFC, Akhyar Rashid dan Akinade.
Menuju tamat separuh masa, TFC melebarkan kedudukan selepas Akinade mudah menolak masuk bola hasil kerja keras Ott yang melakukan larian solo ke dalam kotak penalti minit ke-37.
Kedudukan menjadi 3-0 buat skuad Penyu hasil sepakan padu Marin Pilj minit ke-42 setelah pemain Sabah gagal mengeluarkan dengan cermat bola hantaran lintang Azam Azmi Murad.
Memasuki minit ketiga masa tambahan, Akinade mencetak gol kedua peribadi dan keempat TFC selepas melencongkan bola ke penjuru kiri Khairul Fahmi Che Mat untuk selesa memimpin permainan.
Nasib terus tidak memihak Sabah selepas sepakan percuma Saddil minit ke-74 mudah ke dakapan penjaga gol sebelum Machado gagal memanfaatkan kesilapan pertahanan TFC, Shahrul Nizam Roshasni minit ke-78.
Ketangkasan Khairul Fahmi menafikan rembatan Nurillo Tukhtasinov dan Azam Azmi (m-84) menyelamatkan gawang Sabah dari terus bocor di hadapan lebih 15,000 penyokong.
Kedudukan 4-0 berpihak TFC kekal sehingga tamat sekaligus meletakkan skuad Penyu sebelah kaki ke separuh akhir Piala FA menjelang aksi timbal balik di Stadium Likas, minggu depan.


































