Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Agensi penguat kuasa kini perlu fokus mencegah jenayah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompleks.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia penting berikutan perkembangan pesat teknologi AI dalam tempoh yang singkat.
Menurut beliau, kerjasama utuh antara semua pihak termasuk agensi pihak berkuasa, badan kerajaan, ahli akademik dan entiti swasta penting bagi mendepani penyalahgunaan teknologi AI.
“Seiring dengan evolusi dunia digital, peningkatan jenayah siber yang dipacu oleh kemajuan teknologi AI termasuk peningkatan maklumat salah dan tidak tepat memerlukan perhatian segera dan berterusan.
“Jenayah siber merupakan konflik yang jelas sangat bahaya dan mampu memberi kesan di setiap pelusuk dunia bermula dari kecurian identiti dan penipuan kewangan kepada serangan perisian tebusan (ransomware) yang sofistikated serta penggodaman.
“Jenayah siber membawa ancaman yang nyata kepada orang ramai, sebagai pegawai penguatkuasaan kita perlu bangkit mengatasi cabaran ini dengan cekal dan waspada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Ketua-Ketua Polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCOPS) 2024 di New York, Amerika Syarikat (AS) Khamis.
Ramli berkata, pihak Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) juga perlu memainkan peranan bagi meningkatkan latihan kemahiran buat pegawai penguat kuasa di setiap negara ahli menerusi semua pusat kecemerlangan masing-masing.
Katanya, UN perlu mengorak langkah ke hadapan dalam mendepani penyalahgunaan teknologi AI dan mereka perlu memastikan sumber yang mencukupi untuk mendepani masalah berkenaan.
“Ini termasuk program latihan bagi pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.
“UN harus menjadi pencetus kepada usaha mencipta sebuah kerangka kerja bagi memastikan teknologi AI digunakan secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya.


































