Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Mohamad Norza Zakaria (tengah), Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Hamidin Mohd Amin (kiri) dan Timbalan CDM, Nicol Ann David (kanan) bergambar bersama pelancaran pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Paris di perkarangan Plaza Raintree, Tun Razak Exchange, Ahad lalu.- Ihsan FB MOM
PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan berbincang dengan Yonex untuk menambah baik reka bentuk pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024
Menurut Utusan Malaysia, Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, reka bentuk akan diubah dengan motif Harimau yang lebih jelas serta logo yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang.
Menurut Norza, bahawa beliau sedar pakaian rasmi atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu tidak menerima maklum balas yang positif dari pemegang taruh serta orang awam.
“Selepas mempertimbangkan maklum balas daripada Menteri Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), dan peminat sukan, MOM mengakui reka bentuk jaket rasmi itu tidak menepati jangkaan.
“Niat asal di sebalik jaket bertema emas, digabungkan dengan warna hitam dan menampilkan logo MOM berwarna emas, adalah untuk melambangkan aspirasi kontinjen Malaysia untuk memperoleh pingat emas Olimpik pertama negara. Bagaimanapun, reka bentuk itu tidak mendapat sambutan yang baik.
“Versi emas bendera negara adalah selaras dengan garis panduan pakaian kontinjen Olimpik negara diletakkan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan pakaian Malaysia sudah pun diluluskan oleh mereka.
“Kami bertanggungjawab sepenuhnya atas pengawasan ini dan akan menambah baik reka bentuk sedia ada untuk menggambarkan motif Harimau pada jaket dengan jelas dan menggunakan logo MOM berwarna, menghormati status Jalur Gemilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris menerima kecaman hebat daripada peminat sukan tanah air dan menyifatkan baju terbabit setaraf dengan baju sukan sekolah.
Sementara itu, Norza turut menjelaskan Yonex menjadi penaja sejak 2014 itu, mengikuti corak reka bentuk dikemas kini setiap kitaran penaja baharu seperti bermula di Sukan SEA dan berakhir di Olimpik.
Menurutnya, rekaan pakaian rasmi Kontinjen Malaysia akan memulakan kitaran baharu iaitu bermula dengan Sukan SEA Thailand 2025 sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Kami berharap rakyat Malaysia akan bersama-sama mendoakan kejayaan kontinjen Malaysia dengan penuh semangat dan perpaduan, sebagaimana mereka menunjukkan semangat dalam memberikan pandangan mengenai pakaian itu,” katanya.


































