Armizan Mohd Ali
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Arahan Pengawal Bekalan bagi Larangan Penjualan Petrol RON95 dan Diesel kepada Kenderaan Asing di Stesen Minyak di Sempadan antara satu dari sembilan langkah diambil kerajaan untuk membendung ketirisan bahan api.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, arahan berkenaan sentiasa ditambah baik berdasarkan situasi semasa.
Kata beliau, antara faktor mendorong aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi adalah permintaan yang tinggi di sektor industri di dalam negara dan dari negara jiran ekoran jurang harga di stesen minyak berbanding harga komersial.
“Langkah kedua adalah mempergiat tindakan melalui Op Tiris yang dilaksanakan sejak 1 Mac 2023. Operasi ini difokuskan kepada usaha untuk membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Kementerian juga melaksanakan tindakan bersepadu melalui task force bersama agensi iaitu Jawatankuasa Teknikal Op Tiris yang di anggotai agensi penguatkuasaan dan agensi menguruskan subsidi diesel.
“Ketiha adalah tindakan mengawal selia operasi stesen-stesen minyak di negeri bersempadan melalui pelaksanaan Buku Lawatan dan Peti Lawatan yang bermula sejak 2021,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Armizan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang meminta beliau menyatakan pelan khusus Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menangani insiden penyeludupan.
Armizan berkata, langkah keempat adalah menempatkan pengawai secara statik di stesen minyak terpilih untuk mengekang salah laku penyeludupan bahan api ini.
Katanya, kelima adalah melaksanakan operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan lebih holisitik serta efisen.
“Keenam, penugasan pegawai penguat kuasa kementerian di lapan lokasi pintu masuk sempadan Negara iaitu Negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Single Border Agency (MCBA) bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
Operasi penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah tiga akta yang dikawal selia KPDN iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).
“Ketujuh, pengesyoran tindakan penggantungan dan pembatalan lesen CSA stesen minyak yang terbabit dengan aktiviti penyelewengan petrol dan diesel.
“Kelapan, tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) kepada pihak yang terbabit dengan aktiviti penyelewengan khasnya barang kawalan bersubsidi.
Sehingga November tahun 2023, sebanyak RM2.1 juta aset syarikat berkaitan telah dibekukan bagi siasatan kes di bawah AMLA,” jelasnya.
Tambahnya, tindakan terakhir adalah melaksanakan larangan eksport bagi barang bersubsidi diesel termasuk barang-barang lain bagi mengekang ketirisan barang bersubsidi di sempadan negara.


































