Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan mengapa Global Infrastructure Partners (GIP) dipilih mengambil bahagian dalam usaha menswastakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, menurut Khazanah Nasional Berhad, pada mulanya sebanyak 145 syarikat memohon untuk mengambil bahagian dalam konsortium itu bagi mengambil alih MAHB, tetapi hanya lima yang dianggap sesuai.
Katanya, hal ini kerana syarat ditetapkan Khazanah terlalu ketat termasuk Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif mestilah rakyat Malaysia.
“Ketiga (syarat), majoriti pegangan milik Malaysia,” katanya dalam pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanya mengapa GIP dipilih, bukannya syarikat lain.
Menurut Anwar, terdapat syarikat lain berminat namun mereka mahu diberikan hak mengurus MAHB.
“Dia hendak hak menguruskan termasuk CEO rakyat mereka. Syarat ini tidak diterima. Jadi sebab itu, GIP diambil,” katanya.


































