Harry Kane berlatih bersama skuad England di Blankenhain, Jerman sebagai persiapan menentang Slovenia pagi esok.
BLAKENHAIN: Di sebalik kejayaan England lolos ke pusingan 16 akhir, pengendali Three Lions, Gareth Southgate tetap dihambur kritikan susulan jentera serangan yang disifatkan ‘tumpul’
Menurut Utusan Malaysia, penyerang England, Harry Kane masih memberi sokongan kepada pengendalinya itu biarpun menyajikan permulaan hambar pada kempen edisi 2024.
“Saya enggan mahu bercakap mengenai dia (Southgate). Banyak perubahan yang dilakukannya dari segi kami berada sebagai pasukan kebangsaan.
“Memang sentiasa akan ada orang mengkritik, namun rekod kemenangan dan kejayaan mewakili diri dia. Langkah seterusnya dia hanya mahu menang itu sahaja,” kata Kane.
Southgate mencetuskan kontroversi apabila beliau mungkin tidak akan mengetuai England selepas ini jika pasukannya gagal menamatkan kemarau 58 tahun dalam kejohanan utama.
Dalam pada itu, Kane menambah dan percaya bahawa England lebih baik bergelut pada awal kempen dalam menyesuaikan pada perlawanan untuk memberi motivasi kepada pasukan.
Menurutnya, England tidak akan terlalu terkejut jika berdepan situasi ‘genting’ dalam peringkat kalah mati.
“Kami percaya boleh memenangi semua perlawanan. Anda boleh menang dua permainan dan menjadi terlalu yakin selepas itu. Anda akan menjadi buah mulut orang ramai untuk menang kejuaraan.
“Namun jika menghadapi cabaran di pusingan kalah mati anda tersingkir. Saya tidak fikir ia perkara yang buruk tetapi untuk melalui masa yang sukar pada awalnya, ia meluaskan fokus kami,” ujarnya.
England dalam persiapan untuk bertarung dalam aksi terakhir Kumpulan C menentang Slovenia, awal pagi ini.


































