Acara ini bertujuan mempromosikan warisan budaya negara melalui pakaian tradisional dan elegan iaitu baju kebaya.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi acara berprestij, Miss World Kebaya 2024 di Hotel Grand Ion Delemen Genting Highlands, pada 1 Disember ini.
Acara itu bertujuan mempromosikan warisan budaya negara melalui pakaian tradisional dan elegan iaitu baju kebaya.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Chan Hon Mun berkata, dengan sokongan daripada Tourism Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), acara iini dibawa ke peringkat lebih besar untuk mempromosikan budaya Malaysia ke negara luar.
“Setakat ini, penyertaan dari 10 negara dan kami menyasarkan 30 peserta dari 30 negara. Kita akan ke luar negara untuk mempromosikan acara ini terutama di rantau ASEAN.
”Negara yang telah menghantar penyertaan adalah daripada Singapura, Indonesia, Filipina dan negara lain akan menyusul kemudian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Hon Mun, walaupun kos penganjurannya tinggi kerana melibatkan negara luar, tetapi ini adalah salah satu cara Tourism Malaysia untuk meningkatkan ekonomi pelancongan negara.
Pertandingan Ratu Kebaya Malaysia diadakan sejak 2012 untuk memartabatkan warisan budaya dan mempromosikan keunikan serta kepraktisan kebaya dalam kehidupan seharian.
Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan telah mendapat sambutan positif di seluruh masyarakat yang mencerminkan minat dalam fesyen tradisional ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman menyatakan bahawa acara ini adalah perayaan kepelbagaian budaya dan melambangkan salah satu pakaian tradisonal yang disayangi di Malaysia iaitu kebaya.
“Acara ini adalah pertandingan yang menghormati daya tarikan abadi sebagai cerminan budaya, warisan dan kreativiti kita yang dinyatakan dalam pakaian fesyen yang sepatutnya juga dikongsi dengan seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Malaysia World Research Travel Organization (WRTO), Datuk Rashidi Hasbullah menyambut bauk inisiatif yang mempromosikan pemahaman budaya dan pelancongan.
”Acara ini adalah platform yang luar biasa untuk mempamerkan warisan budaya kita yang kaya kepada dunia,” ujarnya.

































