Gavin Green
PETALING JAYA: Bintang golf profesional negara Gavin Green bakal beraksi pada temasya Olimpik buat kali ketiga berturut-turut selepas namanya disenarai dalam kalangan 60 pemain lelaki yang akan beraksi pada Paris 2024 Ogos ini.
Menurut Utusan Malaysia, senarai 60 pemain lelaki yang akan beraksi dari 1 hingga 4 Ogos di Le Golf National di Guyancourt, gelanggang Piala Ryder 2018 dan tuan rumah Terbuka Perancis sejak 1991, dimuktamadkan kelmarin.
Untuk rekod, pemain berusia 30 tahun dari Kuala Lumpur itu, menduduki tangga ke-47 acara individu pada temasya Rio 2016 dan berkongsi tangga ke-57 di Tokyo lima tahun kemudian.
Gavin yang pernah muncul pemain nombor satu Asia pada 2017, kini menghuni ranking ke-257 dunia.
Beliau akan bersaing dengan pemain ternama dunia termasuk pemain nombor satu dari Amerika Syarikat (AS), Scottie Scheffler dan juara bertahan Xander Schauffele, juga dari AS.
Antara bintang ternama dunia yang disenaraikan ke Paris 2024 termasuk pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy yang akan mewakili Ireland Utara, pemain Sepanyol, Jon Rahm dan Hideki Matsuyama dari Jepun.


































