Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi harapan untuk membutirkan pingat di Sukan Olimpik paris 2024.
PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berusaha untuk mengelak pasangan beregu No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan tekanan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai Julai ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata, pihaknya mengambil kira semua aspek untuk memastikan Aaron-Wooi Yik berada di prestasi terbaik termasuk melindungi mereka daripada gangguan serta tekanan yang tidak wajar.
Katanya, pasangan yang berada di ranking keempat dunia itu sudah menghabisi tempoh rehat dan pemulihan di Pulau Pinang bagi menghilangkan penat lelah selepas beraksi dalam tiga kejohanan BWF yang padat sejak awal Mei lalu.
“Kami tidak mahu tekanan kepada Aaron-Wooi Yik semakin bertambah. Mereka juga perlukan ruang. Sebagai pemain sandaran negara dan juga senior, mereka tahu apa yang perlu lakukan untuk mengejar pingat emas itu.
“Penat daripada kejohanan boleh pulih, akan tekanan yang dihadapi boleh mengganggu konsentrasi ketika berlatih. Mereka harus diberi ruang yang cukup untuk membuat persediaan kerana setiap pemain alami tekanan berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi hambar dalam ketiga-tiga kejohan terakhir yang disertai mereka iaitu terkandas di suku akhir Malaysia Masters dan Terbuka Singapura serta tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Indonesia.
Dalam pada itu, Michelle turut berkongsi bagaimana tekanan kepada seseorang pemain itu mampu merencatkan persiapan ketika menghadapi perlawanan besar seperti Olimpik.
Menurutnya, beliau mengambil iktibar daripada Olimpik edisi lalu di Tokyo yang mana beberapa pemain terkemuka tersungkur awal berikutan tekanan dialami sangat luar biasa.
“Di media sosial saya lihat ramai yang menyebut tentang pingat emas menjadi sandaran pada sukan badminton. Sebagai contoh saya melihat kiriman bekas beregu Indonesia Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon berkenaan tekanan mereka alami ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Kami tidak mahu perkara yang sama berulang kepada Aaron-Wooi Yik. Beri mereka masa dan ruang untuk persiapan mereka ke Paris,” ujar Michelle.
Pada Olimpik edisi lalu, Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa pada penampilan sulung mereka selepas menewaskan gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.


































