Penduduk mengikat lembu korban yang sebelum ini terlepas dua kali dalam kejadian di Teluk Intan, Perak.
TELUK INTAN: Penduduk Kampung Durian Sebatang di sini kecoh apabila seekor lembu untuk sembelihan korban terlepas dua kali, sehari sebelum ibadah korban dilaksanakan.
Menurut Utusan Malaysia, seorang penduduk, Khairuddun Abdul Latib, 68, berkata, kejadian pertama berlaku pukul 11 malam kelmarin apabila lembu yang diikat pada sebatang pokok disedari sudah terlepas.
Menurutnya, usaha mencari berhasil apabila haiwan tersebut dijumpai di rumah penduduk.
“Agar susah untuk menangkap haiwan itu sehingga penduduk terpaksa mengejarnya keliling kampung sebelum akhirnya dapat ditangkap.
“Setelah dapat ditangkap, haiwan itu diikat pada pokok yang sama, namun tanpa disangka tali yang mengikat haiwan itu terlucut menyebabkan ia lari sekali lagi.
“Kali ini haiwan itu lari lebih jauh hingga ke kampung sebelah, iaitu Kampung Terengganu.
“Haiwan itu berjaya ditangkap dan semuanya selesai pada kira-kira pukul 1 pagi semalam,” ujarnya.


































