Dr. Asits Sanna
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan telah menerima satu notifikasi wabak Gastroenteritis Akut (AGE) di daerah Tenom yang dinotifikasikan pada 6 Jun 2024.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, JKNS melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tenom telah mula mengenal pasti peningkatan kes AGE pada 4 Jun 2024 menerusi survelan AGE yang dijalankan secara berterusan.
Katanya, siasatan lanjut berdasarkan tarikh mula gejala yang dilaporkan di antara 2 Jun 2024 sehingga 13 Jun 2024 mendapati, jumlah notifikasi kes AGE adalah sebanyak 191 kes.
“Sebanyak 154 kes telah menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala 37 orang lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Sebanyak 33 kes telah pun discaj dan hanya empat kes yang masih berada di dalam wad dan berada dalam keadaan stabil.
“Aktiviti kawalan yang telah dijalankan termasuk siasatan epidemiologi, siasatan makmal, siasatan persekitaran serta pendidikan kesihatan kepada kes dan orang awam.
“Setakat ini, sebanyak 19 sampel klinikal telah diambil daripada kes-kes yang dimasukkan ke wad Hospital Tenom dan didapati 16 sampel klinikal menunjukkan kehadiran Rotavirus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada surat yang tular di aplikasi Whatsapp berkaitan peningkatan kes AGE di Tenom.
Dr. Asits berkata, punca jangkitan yang disyaki berkemungkinan daripada pengambilan air yang tercemar.
Katanya, sampel persekitaran telah diambil bagi tujuan mengesan punca kejadian.
“Walau bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih di dalam siasatan.”
Dr. Asits berkata, pihak Jabatan Bekalan Air Sabah juga telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan bagi pemantauan pengklorinan air terawat di daerah tersebut.
Beliau berkata, jangkitan Rotavirus merupakan jangkitan usus yang biasa berlaku pada kanak-kanak.
Gejala-gejala jangkitan ini adalah cirit-birit, muntah, dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi. Sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan dengan segera, ianya boleh membawa maut.
“Rotavirus boleh ditularkan melalui air atau makanan yang tercemar serta kontak secara langsung dari najis ke mulut (faecal-oral) seseorang individu.
“Selain itu, ia juga boleh merebak secara kontak ke mulut melalui tangan, alat permainan atau permukaan tercemar.”
Sebagai pencegahan, JKNS
menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah berikut:
1. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan.
2. Masak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna.
3. Simpan makanan pada suhu yang sesuai dan di tempat yang bersih.
4. Gunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak.
5. Segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit.
Dr. Asits berkata, JKNS dengan kerjasama PKD Tenom akan terus memantau situasi kejadian kes AGE melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan di Tenom.
JKNS akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.


































