Undang-undang itu akan berkuat kuasa 120 hari selepas terbit dalam Warta Diraja.
BANGKOK: Senat Thailand bersedia untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) perkahwinan sejenis pada Selasa ini, sekali gus menjadi negara pertama di Asia Tenggara mengiktiraf hak kesaksamaan pasangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Jurucakap Kerajaan, Rudklao Suwankiri dalam kenyataan hari ini berkata, RUU perkahwinan sejenis semakin hampir ke garisan penamat.
RUU itu akan dihantar kepada Kabinet untuk diluluskan dan dikemukakan untuk pengesahan diraja, sebagai satu proses formaliti semata-mata.
Kelulusan oleh kedua-dua dewan Parlimen Thailand akan menjadikan negara itu yang pertama di rantau ini mengiktiraf perkahwinan sejenis.
Kerajaan bercadang untuk meraikan detik bersejarah itu pada 18 Jun ini, dengan perarakan diadakan dari pejabat kerajaan ke pusat perniagaan di Bangkok.
RUU itu, yang dipanggil secara teknikal sebagai kesaksamaan perkahwinan, adalah pindaan kepada Kod Sivil dan Komersial negara.
Undang-undang itu akan berkuat kuasa 120 hari selepas ia diterbitkan dalam Warta Diraja.
Sebaik berkuat kuasa, Thailand akan mengiktiraf pendaftaran perkahwinan pasangan sejenis yang berumur 18 tahun ke atas, termasuk hak mereka untuk mendapat warisan, elaun cukai dan pengambilan anak angkat.
Pentadbiran Perdana Menteri, Srettha Thavisin menjadikan RUU sebagai isu penting, kerana penyokongnya yakin ia mampu menaikkan reputasi Thailand sebagai destinasi pelancongan mesra LGBT.
Thailand menjadi negara ketiga di Asia selepas Taiwan dan Nepal, selain berada di antara kira-kira 40 negara di seluruh dunia yang mengiktiraf perkahwinan sejenis.


































