Atlet Tenpin Boling negara, Natasha Mohamed Roslan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023, pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2023, di Casa MSN. Foto: Shiddiqiin Zon
KUALA LUMPUR: Juara dunia tenpin boling, Natasha Mohamed Roslan mengakui kejayaan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 akan menjadi pencetus semangatnya untuk memburu gelaran Asia, September ini.
Selepas melakar sejarah dalam kariernya meraih anugerah berkenaan, Natasha tidak mahu menoleh kebelakang dan mahu terus melakar kejayaan selaku atlet tenpin boling sandaran negara selepas atlet legenda, Datuk Shalin Zulkifli.
Menurut Utusan Malaysia, Natasha berkata, anugerah berkenaan akan menjadi pembakar semangatnya untuk mempamerkan aksi terbaik sekali gus mencerahkan sasarannya untuk merangkul pada Kejohanan Tenpin Boling Asia 2024 di Thailand.
“Tenpin boling tahun ini ada kejuaraan Asia di Bangkok pada September ini. Namun begitu, apa yang penting saya perlu fokus kepada perlawanan akhir Terbuka Sarawak esok (hari ini).
“Meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan sememangnya menjadi pembakar semangat saya pada kejohanan Asia khususnya dalam acara perseorangan,” kata Natasha.
Dalam pada itu, Natasha menyifatkan anugerah ini sebagai kemenangan bermakna berikutan mengenepikan pemain skuasy No.1 negara, S. Sivasangari.
“Saya tidak ada menang apa-apa kejohanan lagi tahun ini. Saya rasa dia (Sivasangari) akan menang kerana dia baru sahaja menang atlet skuasy bulanan terbaik baru-baru ini,” katanya.
Pada majlis ASN 2023 kelmarin, Natasha mengenepikan tiga pencabar lain termasuk pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran), Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).
Untuk rekod, Natasha menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas menerusi acara individu pada Kejohanan Dunia Tenpin Boling di Kuwait, pada Oktober lalu.
Kali terakhir, atlet boling merangkul gelaran Olahragawati Kebangsaan menerusi Shalin pada 2002 lalu.
































