Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana pengusaha bas sekolah yang cuba menaikkan tambang pengangkutan itu biarpun menerima subsidi diesel dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri menegaskan, jika berbuat demikian, kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik lesen dan membatalkan syarikat pengusaha bas sekolah.
Beliau berkata, amaran sama turut diberikan kepada mana-mana pengangkutan awam dan barangan lain yang menerima manfaat subsidi diesel mengikut SKDS yang diluluskan kerajaan.
“Kamu (pengusaha) diberi subsidi minyak dan kamu naik (tambang), kamu jaga. Kalau kamu naik (tambang) juga dengan keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat kamu. Kalau tak anak kita di sekolah terbeban,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), di sini hari ini.
Anwar berkata, pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika belum menerima ‘fleet card’ di bawah SKDS.
Menerusi SKDS, fleet card itu membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter.
Perdana Menteri turut menjelaskan, langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel bukan satu tindakan yang mudah kerana tidak mahu membebankan rakyat.
Dalam hal ini, beliau mahu mana-mana pihak termasuk rakyat seluruhnya untuk berunding bagi memperbetulkan pelaksanaan itu kerana langkah penyasaran subsidi itu bukan penyelesaian sempurna.
“Saudara ingat kita dalam Jemaah Menteri senang-senang nak lakukan (penyasaran subsidi diesel), tak berhati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga barang, tidak.
“Kalau saya sendiri, puluh kali mesyuarat teliti soal (penyasaran subsidi diesel) supaya tak terbeban maka nelayan dikecualikan maka subsidi diteruskan, tak ditarik untuk nelayan, pekebun kecil dan bas sekolah,” katanya.
Setakat kelmarin, sejumlah 59,940 syarikat diluluskan subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melibatkan sebanyak 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula 10 Jun lalu.
Menurut beliau, kelulusan serta-merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik permohonan disertakan dengan maklumat lengkap.
KPDN merintis perluasan BUDI MADANI : SKDS 2.0 pada 7 Mac lalu yang pada awalnya hanya terbuka kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan.
Kemudian pada 13 Mei lalu, SKDS 2.0 ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.
































