KLANG: Seorang guru tadika swasta di Pandamaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan memukul kanak-kanak berusia empat tahun yang merupakan murid di sana pada 13 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Malini Magendran bagaimanapun mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan kertas pertuduhan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan tertuduh berusia 25 tahun itu didakwa memukul di bahagian pipi dan belakang badan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di dalam sebuah tadika dekat Jalan Pandamaran, di sini, pada pukul 9.36 pagi.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang pada awalnya tidak diwakili peguam, ketika diberi ruang mitigasi memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana berasal daripada keluarga B40 selain insaf atas kesalahan tersebut.
“Saya berasal daripada keluarga b40, saya juga anak sulung dan membantu menanggung adik beradik lain dengan gaji sebanyak RM1,700. Saya juga minta maaf dan insaf kerana tertampar (mangsa),” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Yong Ching Hong memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
“Sebagai guru tadika kena tunjukkan kasih sayang, sebaliknya tertuduh bertindak memukul kanak-kanak sehingga mengakibatkan lebam pada pipi dan belakang badan.
“Situasi itu juga menyebabkan trauma kepada mangsa. Mohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh,” tegasnya.
Majistret Siti Zubaidah Mahat kemudian memutuskan hukuman penjara selama dua bulan bermula daripada tarikh ditangkap.
Bagaimanapun, tertuduh kembali semula ke kamar mahkamah selepas melantik peguam, A. Birantha bagi memohon kebenaran menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan hukumannya diputuskan di Mahkamah Tinggi kelak.
Menurut peguam, Malini tidak mendapat nasihat berkenaan prosiding hari ini dan anak guamnya itu diberitahu oleh keluarganya bahawa hukuman yang akan dikenakan hanyalah denda.
“Pada pagi tadi juga saya percaya tiada siapa mewakili tertuduh dan dia diberitahu hanya akan dikenakan hukuman denda. Anak guam saya juga baru berkahwin pada April lalu dan menjaga ibu bapanya,” jelasnya.
Namun, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, sebaliknya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
“Tertuduh disabit dengan hukuman dua bulan penjara di bawah budi bicara mahkamah. Bagi kes ini hukuman selaras dengan hukuman di bawah Seksyen 323 KK.
“Permohonan stay order (penangguhan) yang dibuat adalah tertakluk kepada keadaan khas (yang dibenarkan oleh mahkamah),” ujarnya.
Majistret kemudian membenarkan permohonan tertuduh dan menetapkan jaminan pada jumlah tersebut.
Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pipi dipercayai ditampar oleh gurunya dekat sebuah tadika di Pandamaran, di sini, pada 13 Mei lalu
Hasil siasatan polis mendapati mangsa belajar di tadika berkenaan dan pada waktu pagi hari kejadian ketika berada di dalam kelas, mangsa membuang air besar di dalam seluarnya.
Guru berkenaan kemudian mengarahkan anak muridnya itu untuk pergi ke bilih air, bagaimanapun kanak-kanak tersebut berkeras dan enggan bangun dari kerusi. Pada masa itu, guru berkenaan bertindak memukul mangsa di bahagian pipi.
































