SEPANG: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang mempertimbangkan untuk menyelia 100 lagi agensi termasuk syarikat yang menerima konsesi daripada kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, pada masa ini pihaknya hanya menyelia 20 agensi penguatkuasaan untuk memastikan setiap prosedur kerja dilaksanakan teratur dan mengikut lunas undang-undang.
Menurut beliau, isu salah laku dan integriti adalah masalah serius yang berterusan membelenggu perkhidmatan awam dan agensi penguatkuasaan terutamanya.
“Isu tidak berkesudahan ini semakin dilihat sebagai sesuatu yang biasa atau ‘common’ oleh orang ramai yang beranggapan perbuatan salah laku dan tidak integriti menjadi sebahagian daripada budaya untuk mendapatkan perkhidmatan awam.
“Dan orang ramai sudah boleh menerima bahawa sekiranya tidak disogok, mereka tidak akan dapat menikmati perkhidmatan yang ditawarkan. Ini adalah suatu yang tidak baik dan tidak boleh berlaku,” katanya ketika berucap pada mesyuarat EAIC bersama ketua jabatan agensi penguatkuasaan di sini kelmarin.
Ismail berkata, Segala ‘red tape’ dan karenah birokrasi dalam mendapatkan perkhidmatan perlu dihapuskan, manakala sebarang percubaan perbuatan salah laku dan tidak berintegriti tidak boleh lagi diterima.
Katanya, sekiranya isu salah laku dan integriti tidak dibanteras, ia akan menjadi semakin parah umpama barah yang akan merosakkan masa hadapan negara.
“Apabila penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas tidak berbuat sewajarnya, negara kehilangan hasil yang sepatutnya.
“Perbuatan ‘kawtim’ sewaktu menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan melepaskan pengkhianat negara yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen, membangunkan kilang haram dan menyeludup barang kawalan bersubsidi menyebabkan hasil negara tidak dapat dikutip dan negara kehilangan hasil yang selayaknya digunakan untuk pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu ketirisan di sempadan negara bukan perkara remeh yang boleh dipandang enteng kerana sindiket penyeludupan terutamanya minuman keras, rokok dan barangan import-eksport menjurus kepada kerugian yang besar.
Sekiranya penguat kuasa yang bertugas menjaga kawalan sempadan tidak berintegriti, katanya, ia akan menyebabkan ketirisan kutipan cukai dan akhirnya menjejaskan hasil negara.
“Ketirisan hasil di sempadan negara membuktikan berlakunya perbuatan salah laku dalam kalangan penguat kuasa.
“Sekiranya tidak dibendung, ia bakal membuka kepada banyak lagi permasalahan antaranya risiko keselamatan awam, mengancam kedaulatan negara dan menjejaskan kebajikan rakyat,” katanya.




























