KLANG: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera di bahagian pipi dipercayai ditampar oleh gurunya dekat sebuah tadika di Pandamaran, di sini, pada 13 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis menerima aduan daripada bapa mangsa yang mendakwa menerima gambar anak lelakinya mengalami kecederaan di bahagian pipi dan belakang badan kira-kira pukul 12.21 tengah hari.
Menurutnya, dalam laporan dibuat lelaki berusia 33 tahun itu memberitahu dia pergi ke tadika berkenaan sebelum mengetahui anaknya dipukul oleh guru.
“Hasil siasatan polis mendapati mangsa belajar di tadika berkenaan dan pada waktu pagi hari kejadian ketika berada di dalam kelas, mangsa membuang air besar di dalam seluarnya.
“Guru berkenaan kemudian mengarahkan anak muridnya itu untuk pergi ke bilih air, bagaimanapun kanak-kanak tersebut berkeras dan enggan bangun dari kerusi. Pada masa itu, guru berkenaan bertindak memukul mangsa di bahagian pipi,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Jelas Hoong Fong, susulan laporan polis dibuat bapa mangsa, kanak-kanak itu kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian pipi.
Sehubungan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pegawai penyiasat sudah melengkapkan kertas siasatan dan mendapat arahan tuduh dari Timbalan Pendakwa Raya semalam. Suspek seorang wanita berusia 25 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Klang pada esok (hari ini) di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hoong Fong menafikan dakwaan polis melengah-lengahkan siasatan dan pengumpulan bahan bukti terhadap kes tersebut, sebaliknya pasukannya memerlukan masa untuk melengkapkan semua keterangan dan menganalisis barang bukti diperolehi.
“Selain itu, jika kes melibatkan seorang kanak-kanak, maka dia perlu melalui proses rakaman percakapan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) mengikut temujanji yang ditetapkan.
“Tindakan-tindakan itu perlu dilengkapkan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Itu jelas menunjukkan seorang pegawai penyiasat memerlukan masa bagi melengkapkan kertas siasatan,” tegasnya.
Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap siasatan kes berkenaan.




























