JASIN: Seorang doktor lelaki di sebuah klinik di Merlimau di sini ditahan polis selepas disyaki mencabul kakitangan wanitanya, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, suspek berusia 29 tahun dan sudah berkahwin itu ditahan di pekarangan Balai Polis Merlimau kira-kira pukul 3.15 pagi.
“Polis menerima laporan seorang kakitangan wanita berusia 19 tahun telah dicabul oleh doktor lelaki di tempat mangsa bekerja kira-kira pukul 2.24 pagi. Kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek sedang berbual.
“Suspek kemudian bertindak meraba badan mangsa. Ketika kejadian terdapat seorang lagi kakitangan yang sedang bertugas tetapi tidak menyedari insiden berkenaan,” katanya.
Tambah Ahmad Jamil, suspek ditangkap ketika hadir ke balai polis setelah mengetahui satu laporan dibuat terhadap dirinya.
“Suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.






























