KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil maklum akan laporan kebakaran yang melibatkan anggaran sejumlah 15 buah rumah setinggan jenis tidak kekal di kawasan penempatan (setinggan haram) atas air bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam baru-baru ini, yang dipercayai berpunca akibat litar pintas ketika operasi perobohan rumah setinggan oleh pihak berkuasa dilakukan.
DBKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan, masalah setinggan tempatan mutakhir ini dilihat masih berterusan dan ianya perlu diberikan perhatian yang pesat.
“Jumlah kawasan setinggan yang semakin memuncak juga telah membawa kepada peningkatan masalah sosial yang kritikal serta sistem prasarana yang tidak teratur sehingga membawa kepada pemasangan pendawaian haram, kecurian air dan sebagainya.
“Mengambil iktibar ke atas insiden tersebut, DBKK ingin menyatakan ketegasan dan larangan kepada semua penduduk yang terkesan untuk tidak membina semula rumah mereka di kawasan yang sama.
“Penempatan tersebut merupakan penempatan yang tidak diiktiraf dan ianya bakal berdepan dengan tindakan perobohan seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil (Bangunan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu 1951,” kata kenyataan itu.
DBKK menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar dan membina semula rumah di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, DBKK juga akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak atau individu yang membina rumah atau sebarang struktur di atas tanah kerajaan, mahupun tanah milik individu, tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Penempatan seumpama ini merupakan penempatan yang tidak diiktiraf dan tindakan pengusiran serta perobohan akan dikuatkuasakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.”
Pihak DBKK juga akan membuat siasatan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu yang bertindak sebagai orang tengah dalam mengurus atau meluluskan penempatan baharu di dalam kawasan pentadbiran Bandaraya Kota Kinabalu.
Penglibatan orang tengah dalam memberi kelulusan ke atas mana-mana penempatan baharu tidak pernah diiktiraf oleh DBKK sebelum ini dan ianya merupakan satu kesalahan undang-undang, katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penglibatan mana-mana orang tengah dalam pengurusan penempatan baharu bolehlah melaporkan kepada DBKK di talian 088-521800.
DBKK akan terus menyokong pendekatan harmoni kerajaan dalam pemantauan serta pelaksanaan inisiatif-inisiatif pengurusan setinggan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Ianya merupakan satu usaha kolektif dan tindakan bersepadu bersama agensi-agensi yang berkuat kuasa.


































