KOTA BHARU: Polis Kelantan masih giat memburu presiden persatuan muay thai, Mohd. Fared Abdul Ghani, 56, bagi membantu siasatan kes salah guna darjah kebesaran Datuk Seri palsu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan terhadap lelaki itu akan dilakukan pada bila-bila masa.
Katanya, Mohd. Fared masih belum menyerah diri berhubung atas kesalahan berkenaan selepas hampir seminggu diburu polis.
“Kita tetap akan memburu lelaki itu dan membuat tangkapan ke atasnya.
“Setakat ini, dia masih belum menyerah diri atau mungkin ada hal lain. Saya masih beranggapan positif terhadapnya. Dalam keadaan seperti ini, perkara itu (kes salah guna darjah kebesaran) tidak perlu dipanjang-panjangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, Mohd. Fared sepatutnya tampil dan menyerah diri untuk membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, polis hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat selepas menerima laporan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis Kelantan memburu lelaki yang merupakan seorang presiden sebuah persatuan muay thai, Mohd. Fared Abdul Ghani, 56, bagi membantu siasatan berhubung kes menyalahgunakan darjah kebesaran Datuk Seri palsu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penggunaan Datuk Seri yang tidak diiktiraf oleh lelaki tersebut sebelum kertas siasatan dibuka.


































