PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal lelaki warga tempatan berusia 22 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.8, Bulatan 360, Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi ketika mangsa menunggang motosikal secara bersendirian dari arah Donggongon menuju ke Jalan Bundusan.
“Siasatan awal mendapati setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui bulatan sebelum terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.
Menurut Arisanti, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Arisanti turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan dan had laju yang ditetapkan serta meningkatkan tahap kewaspadaan, khususnya ketika melalui selekoh dan bulatan.
“Penunggang motosikal juga dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya.
































