MIRI (Bernama): Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan bagi menentukan sama ada langkah keselamatan tambahan diperlukan susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram pada Selasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata sebarang kajian hendaklah dilakukan secara profesional dan berdasarkan dapatan serta maklum balas daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta pihak berkuasa lain.
Beliau berkata kerajaan negeri akan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sama ada langkah-langkah sedia ada perlu diperkukuh.
“Selepas ini, kami mahu mendapatkan laporan daripada CAAM dan pihak berkaitan. Kami akan meneliti dan membincangkan langkah atau penambahan yang perlu dilakukan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Lee berkata operasi penerbangan tertakluk kepada peraturan keselamatan yang telah ditetapkan dan sebarang perubahan melibatkan operasi pesawat mesti mematuhi piawaian serta mendapatkan kelulusan yang sewajarnya.
Beliau mengulas persoalan yang timbul susulan nahas tersebut, termasuk komen orang ramai mengenai pesawat itu dan sama ada langkah tambahan diperlukan bagi perkhidmatan penerbangan yang beroperasi di pedalaman Sarawak.
Lee berkata orang ramai juga digesa supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca nahas dan menyerahkan kepada CAAM serta pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut peraturan penerbangan.
Beliau berkata sebarang kesimpulan haruslah berdasarkan siasatan rasmi dan bukannya andaian atau komen yang tidak disahkan.
“Kita harus menunggu laporan profesional dan rasmi,” katanya.
Lee berkata keutamaan segera selepas nahas itu ialah kebajikan mangsa dan keluarga mereka, dengan agensi kerajaan berusaha memastikan proses pemulihan serta prosedur susulan dikendalikan dengan secepat dan sebaik mungkin.
Sementara itu, Lee berkata perkhidmatan udara seperti FDS kekal penting bagi Sarawak kerana banyak komuniti di kawasan pedalaman mempunyai akses yang terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata perkhidmatan itu telah beroperasi sejak sekian lama dan kekal menjadi keperluan bagi penduduk luar bandar yang jika tidak, akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan.
Nahas helikopter di Long Lellang pada Selasa mengorbankan kesemua lima orang yang berada di dalamnya termasuk empat kakitangan Kementerian Kesihatan.
Lee berkata operasi di Lapangan Terbang Long Lellang tertakluk kepada kelulusan CAAM dan pihak berkuasa berkaitan, susulan prosedur yang perlu dipatuhi berhubung siasatan nahas tersebut. — BERNAMA
































