Giorgio Manenti dari Itali melihat ke luar tingkap ketika misi Galactic 07 Virgin Galactic membawa empat penumpang Turkiye, AS dan Itali ke pinggir angkasa Sabtu.
WASHINGTON: Virgin Galactic kelmarin berjaya menyelesaikan penerbangan pelancongan angkasa lepas terakhir sebelum menuju jeda operasi komersial selama dua tahun untuk menaik taraf armadanya.
Menurut Utusan Malaysia, penerbangan pelancongan, Misi Galactic O7 itu membawa pelancong dari Turkiye, Amerika Syarikat (AS) dan Itali bagi menikmati pengalaman ke ruang angkasa lepas dalam penerbangan keduanya tahun ini.
Angkasawan agensi angkasa lepas Turkiye, Tuva Atasever antara yang mengambil bahagian dalam misi perjalanan terakhir itu.
Sementara tiga lagi adalah jurutera di SpaceX, Anad Harish Sadhwani, pemaju hartanah New York dan juruterbang pesawat, Irving Izchak Pergament serta penasihat pelaburan Itali, Giorgio Manenti.
Menurut syarikat pelancongan angkasa lepas itu, penumpang dibawa ke pinggir angkasa lepas dengan ketinggian kira-kira 88.51 kilometer.
Syarikat itu berkata, kru dan pelancong misi tersebut berlepas pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan dan kembali ke Spaceport America di New Mexico dalam tempoh kira-kira 50 minit kemudian.
“Galactic07 kembali ke terra firma, kini sebagai angkasawan. Juruterbang, anak kapal dan kapal angkasa kami selamat mendarat di Spaceport America, New Mexico,” kata syarikat itu di X, merujuk kepada pasukan dua juruterbang dan dua penumpang.
Ia menandakan penerbangan komersial terakhir pesawat VSS Unity Virgin kerana syarikat itu kini mengeluarkan kapal angkasa generasi keempat yang dijangka memasuki perkhidmatan pada 2026.




























