Sugar glider gemar tidur di dalam kantung yang gelap dan selesa.
Sugar glider merupakan antara haiwan eksotik berbulu yang kian menjadi pilihan untuk dipelihara dalam kalangan pencinta haiwan.
Menurut Utusan Malaysia, haiwan nokturnal yang aktif pada waktu malam ini memerlukan kawasan selesa dan gelap untuk tidur seperti dalam kantung yang digantung dalam sangkar tinggi.
Fizikalnya kecil dan bersaiz poket meningkatkan lagi tahap kecomelannya.
Bentuknya yang menyerupai tupai terbang juga dilihat mengelirukan, namun, ciri-ciri jelas yang boleh dilihat adalah sugar glider mempunyai garis gelap berwarna hitam di atas kepala hingga ke ekornya.
Jasmine Athirah Raihanah Jaharulnizam antara peminat sugar glider. Beliau memelihara haiwan ini sejak 10 tahun lalu selepas tertarik dengan kecomelan sugar glider peliharaan bapa saudaranya.
“Sugar glider saya bela itu adalah hadiah pemberian daripada bapa saudara saya itu. Dia tengok saya minat dan dia beri kepada saya untuk membelanya,” katanya kepada Seri.
Kata Jasmine, minatnya terhadap haiwan seperti kucing juga antara sebab mendorong untuk memelihara haiwan itu.
Namun, ibu yang tidak membenarkan peliharaan sebesar kucing menjadikan minatnya terhadap haiwan kecil itu semakin membuak-buak.
“Saya suka sebab sugar glider ni unik, kecil dan berbulu macam kucing tapi sebab kucing besar dan ibu saya tidak benarkan saya untuk membelanya, jadi saya ambillah sugar glider.
“Sugar glider manja. Kita kena selalu main dengan dia untuk cipta hubungan dengannya. Mereka boleh kenal siapa tuannya, menerusi bau dan suara,” katanya.
CARA PENJAGAAN
Cara penjagaan bagi setiap haiwan peliharaan adalah berbeza bergantung kepada spesis dan keperluan hariannya.
Bagi haiwan kecil yang bersifat omnivor, penjagaannya mudah kerana keperluan makanan adalah ringkas dan senang untuk didapati.
Menurut Jasmine, haiwan itu memerlukan nutrisi dari makanan seperti buah-buahan dan isi ayam mentah serta cacing kering sebagai makanan sampingan.
Katanya, pemilik juga perlu cakna dengan jenis buah-buahan yang diberikan kerana ada sesetengah yang memberi kesan kepada tahap kesihatan.
“Nutrisi mereka perlu diberi keutamaan. Ada sesetengah buah yang mereka tidak boleh makan atas sebab-sebab tertentu dalam kesihatan.
“Cacing kering, snek ikan dan marshmallow boleh diberikan namun dengan had tertentu,” katanya.
Tambahnya, kos makanan tidak terlalu tinggi kerana kebanyakannya apa yang boleh dimakan oleh manusia seperti buah-buahan dan ayam mentah.
Sementara itu, untuk memastikan kesihatan terjamin, ia memerlukan penjagaan yang betul bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman.
Haiwan itu lebih mudah terdedah kepada bakteria sekiranya diletakkan di kawasan luar yang terbuka.
KECIL TAPI RUMIT
Rawatan bagi haiwan eksotik itu rumit kerana tidak banyak yang pakar mengenainya.
“Sugar glider ni kalau tidak dijaga boleh kena penyakit bakteria, lebih lebih lagi kalau letak di kawasan luar rumah.
“Kalau sakit memang susah nak cari doktor sebab kena cari klinik khas untuk haiwan eksotik.
“Masa haiwan saya sakit dulu, merata cari klinik haiwan tapi semua tidak boleh buat sebab tiada pakar.
“Mujur saya terjumpa seorang pesara doktor haiwan eksotik di zoo negara yang buat sesi di rumah. Itulah pengalaman pertama bawa haiwan eksotik jumpa doktor,” katanya.





























