PETALING JAYA: Penyanyi Korea Selatan, B.I atau nama sebenarnya Kim Han-bin akan mengadakan konsert pertamanya di Malaysia hujung bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, Malaysia menjadi salah satu lokasi bagi konsert jelajah HYPE UP yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
“Apa khabar Malaysia? Saya bakal mengadakan konsert sulung di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
“Mari hadirkan diri anda ke konsert itu dan bergembira bersama saya.
“Jumpa nanti,” katanya menerusi sebuah video.
Dalam pada itu, bekas ahli kumpulan iKON itu juga menjanjikan bakal memberi kejutan kepada kelab peminatnya di Malaysia yang dikenali sebagai ‘ID’.
Tidak hanya B.I, konsert itu nanti bakal diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu penyanyi dan komposer Korea Selatan, Leo.
Leo baru-baru ini baru sahaja melancarkan lagunya yang bertajuk One Look.
Selain itu, pembeli tiket juga berpeluang memenangi faedah tambahan seperti berpeluang mengadakan panggilan video eksklusif, menghadiri sesi latihan sebelum konsert dan bergambar berkumpulan.





























