PORT DICKSON: Kerajaan bersedia untuk menyemak dan meminda peraturan dan undang-undang sedia ada dalam berdepan isu kebimbangan ramai dalam penggunaan vape dan rokok elektronik di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesejahteraan dan kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan buat masa ini bagi berdepan isu tersebut ia akan dikawal selia menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan dikuatkuasakan secepat mungkin.
Kata beliau, kerajaan akan melaksanakan akta tersebut terlebih dahulu di mana menerusinya produk merokok termasuk vape akan menjadi produk yang dikawal selia dengan ketat.
“Dalam hal undang-undang ini tiada yang statik, kita akan terus menilai dan menimbang demi mencapai kesejahteraan awam. Buat masa ini kita ambil sikap mengawal selia semua produk merokok termasuk rokok elektronik.
“Mungkin mudah untuk mengharamkan, namun kita ambil sikap itu dan kekal dengan sikap itu. Sangat penting untuk penguatkuasaan di semua peringkat, bukan sahaja di Kementerian Kesihatan tetapi juga kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan juga pihak berkuasa tempatan semua kena gembleng tenaga,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian kepada pemberita selepas program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BebAs) di PD Waterfront di sini kelmarin.
Beliau mengulas laporan media mengenai rancangan kerajaan Hong Kong untuk melakukan pengharaman menyeluruh terhadap e-rokok yang mengambil kira kesan kesihatan kepada golongan muda.
Dzulkefly menambah lagi, sebarang pertimbangan lain selepas ini termasuk mengetatkan undang-undang dan peraturan boleh dipertimbangkan pada masa hadapan berdasarkan keberkesanan undang-undang dan peraturan sedia ada.
Jelas beliau, ketika ini juga penggunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2024
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu sebanyak 38,347 notis kesalahan di bawah PPKHT 2024 telah dikeluarkan dari awal tahun ini sehingga April lalu dengan 16,705 notis dikeluarkan di tempat makan sahaja.
Sepanjang tahun lalu pula sebanyak 96,127 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan 41,481 di kawasan tempat makan.
Sementara itu, katanya, dalam program berkenaan sebanyak enam buah premis di PD Waterfront telah menerima pengiktirafan premis Bersih dan Selamat (BeSS).





























