Markas pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud yang diserbu polis di Kota Laksamana, Melaka.
MELAKA: Remaja berusia 16 tahun antara tujuh individu ditahan polis dalam serbuan melibatkan sebuah rumah di Kota Laksamana di sini yang dijadikan markas pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, operasi pada pukul 5 petang itu berjaya memberkas enam lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur antara 16 hingga 26 tahun.
Katanya, sindiket itu menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa dengan mengiklankan tawaran kerja dalam laman sosial.
“Kita merampas empat unit komputer riba dan tiga telefon bimbit. Hasil pemeriksaan awal dan penelitian barang kes mendapati, sindiket ini terlibat dalam penipuan tawaran kerja tidak wujud yang menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa.
“Kumpulan ini akan mengiklan tawaran kerja dalam laman sosial Facebook. Mangsa yang berminat akan menekan pautan WhatsApp dan akan dihubungkan dengan kumpulan yang berperanan sebagai admin (pentadbir).
“Mereka akan mengajar cara-cara untuk melakukan pekerjaan like and share (suka dan kongsi) laman web tertentu bertujuan untuk meningkatkan rating (penarafan) barangan,” katanya.
Tambah Christopher, mangsa kemudian diarahkan membuat 50 tugasan like and share dan dijanjikan memperoleh komisen melalui sistem.
“Mangsa ditawarkan komisen yang bernilai RM12 hingga RM60 bagi setiap tugasan,” ujarnya.
Katanya, disebabkan terpengaruh dengan komisen lumayan, mangsa akan membuat bayaran ke e-dompet dalam sistem untuk menjalankan tugasan.
Jelasnya, sindiket akan memberikan resit yang telah diubah suai bagi meyakinkan mangsa bahawa pembayaran komisen telah dibuat.





























