Steve (kanan) menyantuni Constantine dalam majlis berkenaan.
PAPAR: Mr Kaamatan (MRK) Papar 2023, Constantine Jude Leo menganjurkan acara Sukan Tradisi di SMK Saint Mary Limbahau di sini kelmarin, dimeriahkan dengan kehadiran 400 pelajar.
Constantine berkata, penganjuran tersebut merupakan manifestonya iaitu memperkasakan sukan tradisi di Sabah.
“Saya ingin melihat sukan tradisi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) kita ini masih dimainkan pada masa akan datang dan secara berterusan.

Antara acara sukan tradisi yang diadakan.
“Saya memilih sekolah sebagai tempat untuk saya merealisasikan manifesto kerana pelajar lebih fokus dan merekalah pewaris dan masa depan kita.
“Dengan pembangunan yang semakin pesat dan teknologi yang semakin moden, generasi pada masa kini lebih gemar bermain telefon mudah alih dan permainan sukan tradisi sudah tidak dimainkan oleh remaja pada masa kini.

Steve (kiri) bersalaman dengan Philip.
“Dengan adanya aktiviti seperti ini, generasi muda sekurang-kurangnya dapat merasakan bagaimana sukan tradisi dimainkan sekaligus menambah ilmu semasa mengikuti acara ‘mari mengenali sukan tradisi ini’,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada Pengetua SMK St Mary Limbahau, Philip Chew yang merasmikan acara tersebut, dan guru-guru yang terlibat, ahli-ahli jawatankuasanya, Rindawan Steve Johnny Mositun yang juga Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Pusat dan Gundohing Baxter Jilan melalui persatuannya, Indigenous Lotud Sabah Society kerana membantu dalam merealisasikan acara tersebut.

Sesi bergambar beramai-ramai.
Sementara itu, Steve berkata, Majlis Belia KDCA yang merupakan badan NGO di bawah KDCA berasa gembira dapat bersama dalam acara tersebut.
“Salah satu syarat utama bagi saya secara peribadi dalam persatuan ialah hati yang telus untuk membantu merealisasikan aspirasi KDCA di mana kita mahu lebih ramai anak muda bersama kami dan maju kehadapan dalam pelbagai sektor sambil mempertahankan kebudayaan dan adat resam KDMR,” katanya yang berharap acara sebegini akan diteruskan ke sekolah lain.
Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Belia KDCA, Ahli-ahli Kelab Komuniti Sayang Sabah; Unduk Ngadau, Tati Carol Abbey Gail; Pengerusi MRK, Casey Jovial; Buvazoi Tavantang Kaamatan Negeri 2023; Tommy T. Gedeus dan
MRK Papar 2024, Oswald Xavier Puji.
































