KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah menerima serahan kes tangkapan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu yang disyaki terlibat dengan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tanpa nama dan tidak bernombor di Kampung Kibabaig, Penampang, kelmarin.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat tangkapan daripada PGA.
Katanya, pemeriksaan awal yang
dijalankan telah menjumpai dan menyita sebanyak 4,400 liter minyak diesel
dengan anggaran nilai RM9,460 yang disimpan dalam enam unit tangki
Intermediate Bulk Container (IBC) yang diubahsuai dalam sebuah lori kotak
jenama Nissan.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan ke atas tangkapan tersebut adalah RM58,860.00 termasuk dua buah lori kotak, 12 unit tangki IBC dan satu unit mesin pam yang disyaki untuk digunakan dalam aktiviti penyelewengan barang
kawalan minyak diesel.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) Akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
,”Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang
disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Georgie berkata, KPDN Sabah akan terus bekerjasama erat dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan yang tegas ke atas semua kegiatan haram berkaitan barang kawalan di Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:
i. WhatsApp iaitu 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800, dan;
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN


































