Seorang lelaki maut dilanggar kenderaan lain ketika cuba menolong sebuah Perodua Axia yang terbabas di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, semalam.
KOTA TINGGI: Niat baik seorang lelaki yang mahu menolong sebuah kereta terbabas di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini bertukar tragedi apabila maut dilanggar kenderaan lain ketika sedang memberi bantuan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 5.20 petang semalam melibatkan Perodua Axia dan sebuah Mitsubishi Triton dengan seorang pejalan kaki yang merupakan pemandu Toyota Hilux.
Menurutnya pada awalnya, Perodua Axia yang dipandu oleh lelaki warga tempatan berumur 33 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit menghala ke arah Kota Tinggi disyaki telah terbabas sendiri di lokasi kejadian.
“Apabila melihat kemalangan tersebut, mangsa maut merupakan lelaki warga tempatan berumur 35 tahun yang sedang memandu Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan telah memberhentikan kenderaan dan pergi untuk memberikan bantuan.
“Bagaimanapun ketika mangsa sedang cuba membantu di lokasi datang sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu oleh lelaki warga tempatan berumur 27 tahun bersama dua orang rakan sekerja dari arah Sungai Rengit telah melanggar mangsa yang berada berhampiran dengan Perodua Axia tersebut.
“Dalam kemalangan ini, pemandu Toyota Hilux tersebut telah mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tujuan bedah siasat.
Katanya pemandu serta penumpang Mitsubishi Triton yang turut cedera di bahagian anggota badan dan menerima rawatan di HKT.
“Pemandu Perodua Axia hanya cedera ringan dan dirawat di hospital swasta di Pasir Gudang. Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


































