Sim Fui
KOTA KINABALU: Sabah Dive Squad (juga dikenali sebagai Deus Diving club) sangat prihatin dengan insiden terkini melibatkan seorang penyelam skuba dirakam menggunakan senapang panah untuk menembak ikan Semporna.
Presidennya, Sim Fui berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, seperti yang dijelaskan oleh Jabatan Perikanan, tetapi juga bertentangan dengan nilai dan prinsip utama yang dipegang oleh kelab.
“Tindakan penyelam individu itu tidak mencerminkan etika dan amalan menyelam yang bertanggungjawab, yang menekankan pemuliharaan dan penghormatan terhadap kehidupan marin.
“Tambahan pula, penggunaan senapang panah menembak semasaa menyelam skuba membawa risiko keselamatan yang ketara.
“Tindakan sedemikian boleh secara tidak sengaja mencederakan penyelam lain di kawasan berdekatan, mewujudkan persekitaran bawah air yang berbahaya.
“Keselamatan semua penyelam adalah keutamaan, dan tingkah laku yang cuai seperti ini tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sim berkata, kelabnya yang kini mempunyai kira-kira 100 ahli, komited untuk mempromosikan amalan menyelam yang lestari dan mendidik ahli-ahli serta orang ramai tentang pentingnya memelihara persekitaran marin semulajadi.
“Kami menggesa semua penyelam untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang mengawal perairan kita dan bertindak sebagai penjaga persekitaran marin.
“Biarlah insiden ini menjadi peringatan tentang tanggungjawab kolektif kita untuk melindungi dan menghargai dunia bawah air untuk generasi akan datang,” katanya.


































