HONG KONG: Hong Kong mengumumkan rancangan pengharaman menyeluruh terhadap peranti rokok elektronik, memetik konsensus mengenai keperluan tindakan dan kesannya terhadap kesihatan golongan muda.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu dibuat kira-kira dua tahun selepas bandar China itu mengharamkan import, pembuatan dan penjualan e-rokok termasuk produk tembakau yang dipanaskan.
“Kami akan mengharamkan sepenuhnya semua produk rokok alternatif,” kata Setiausaha Kesihatan, Lo Chung-mau.
Hong Kong sudah pun mengharamkan pemilikan rokok elektronik untuk tujuan komersial dan cadangan terbaharu itu akan melanjutkan larangan tersebut kepada pembeli runcit, walaupun mereka berniat untuk merokok secara tertutup.
Di bawah undang-undang sedia ada, sesiapa di Hong Kong yang mengimport rokok elektronik boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda AS$256,000 (RM1.2 juta), manakala penjual dan pengilang boleh dipenjara sehingga enam bulan.
“Larangan menyeluruh terhadap produk rokok alternatif menjadi kata sepakat dalam masyarakat. Sudah tiba masanya untuk mengharamkan semua bentuk pemilikan produk tersebut, termasuk untuk kegunaan peribadi,” kata Timbalan Setiausaha Kesihatan, Eddie Lee.
Pegawai bandar raya juga mengumumkan larangan merokok semasa beratur di kawasan awam luar dan berkongsi rokok dengan kanak-kanak bawah umur.
Kerajaan juga mencadangkan pengharaman tembakau berperisa, selepas hasil tinjauan menunjukkan ia banyak menarik wanita dan golongan muda.
Chung-mau berkata, beliau berharap larangan e-rokok dan cadangan lain akan diperkenalkan kepada badan perundangan tahun ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan tahun lalu, 34 negara sudah mengharamkan penjualan rokok elektronik manakala 87 lagi mempunyai peraturan penuh atau separa.
Pihak berkuasa Hong Kong berharap dapat mengurangkan kadar kelaziman merokok kepada 7.8 peratus menjelang tahun depan, turun daripada 9.1 peratus pada 2023.




























