TAKLIMAT … MAFFI merupakan kementerian kedua yang dikunjungi Hajiji dalam siri lawatan kerjanya ke semua kementerian negeri.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) memberi keutamaan golongan miskin tegar dalam pelan tindakan dan programnya sebagai sebahagian daripada inisiatif membasmi kemiskinan tegar di Sabah.
Bercakap selepas lawatan kerjanya ke kementerian tersebut di Wisma Pertanian di sini hari ini, Ketua Menteri berkata, MAFFI tidak boleh melupakan golongan miskin dalam perancangan mereka.
“Di bawah data eKasih setakat 18 Mei tahun ini, ketua isi rumah miskin tegar Sabah telah menurun kepada 8,699. Saya harap lebih banyak inisiatif di bawah MAFFI akan melibatkan mereka. Kita mahu memastikan mereka dikeluarkan daripada kemiskinan yang teruk,” katanya.
Berdasarkan taklimat empat jabatan dan empat agensi di bawah MAFFI, Hajiji berkata, rancangan sedia ada untuk memacu industri pertanian, perikanan dan makanan Sabah ke hadapan.
Apa yang penting, beliau berkata, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) yang diluluskan baru-baru ini mesti dilaksanakan secepat mungkin bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) makanan Sabah.
Ketua Menteri mahu syarikat berkaitan kerajaan yang memiliki tanah tidak digunakan agar dibangunkan untuk pertanian, khususnya padi seperti yang diamanatkan oleh Kabinet Negeri.
Beliau berkata, dalam hal ini, MAFFI boleh memberikan bantuan dalam menyediakan sumber yang diperlukan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mendedahkan bahawa dengan penubuhan LPBS, matlamat telah ditetapkan untuk meningkatkan SSL Sabah kepada 65 peratus pada 2030 dan 100 peratus pada 2035.
Dr. Jeffrey berkata, Kementeriannya sedang melantik 15 ahli lembaga pengarah termasuk pengerusi LPBS.
Tumpuan LPBS adalah untuk meningkatkan hasil padi daripada purata 2.9 tan metrik kepada tujuh tan metrik sehektar menjelang 2030, membangunkan sawah padi terbiar untuk menambah keluasan dan membuka sawah padi baharu melalui kerjasama dengan GLC Negeri dan pelaburan swasta, katanya.
Beliau menambah, bidang kuasa LPBS akan merangkumi pengeluaran lesen dan permit eksport dan import serta pembungkusan dan penjualan padi dan beras di Sabah.
Menteri- menteri Kabinet, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan pegawai kanan kerajaan turut hadir.
































