Rakyat Malaysia yang masuk ke Singapura menggunakan bas hanya perlu imbas kod QR bagi memudahkan perjalanan dan mengurangkan tempoh menunggu.
JOHOR BAHRU: Perjalanan puluhan ribu rakyat Malaysia, khususnya yang bekerja mencari rezeki di Singapura memasuki era baharu apabila tidak perlu menggunakan pasport sebaliknya hanya melalui sistem pengenalan imbasan kod QR bermula semalam.
Menurut Utusan Malaysia, sistem itu bagaimanapun hanya dapat digunakan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri manakala di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) masih dalam proses pelaksanaan.
Menerusi penggunaan sistem tersebut, rakyat Malaysia yang keluar masuk menggunakan motosikal dan bas antara kedua-dua negara melalui KSAB tidak memerlukan pasport, namun hanya mengimbas sistem kod QR yang dimuat turun menerusi aplikasi MySejahtera atau MyTrip.
Pelaksanaan kaedah itu dapat memendekkan tempoh menunggu bagi pengguna bas dan motosikal sehingga 80 peratus, sekali gus melancarkan urusan dan perjalanan keluar masuk di kedua-dua pintu masuk sempadan di selatan tanah air itu.
Difahamkan, tempoh menunggu pengguna bas di BSI pada waktu puncak dapat dikurangkan daripada 120 minit kepada 15 minit bersamaan 83 peratus penjimatan masa, manakala tempoh menunggu pengguna motosikal daripada 40 minit kepada 30 minit.
Sementara itu, tempoh menunggu bas di terminal KSAB pula dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit dan pengguna motosikal daripada 45 minit kepada 30 minit.
Seorang penyelia di sebuah syarikat di Changi, Singapura, Mohammad Faiz Mohd. Fuad, 28, berkata, penggunaan kod QR memudah dan mempercepat proses di pusat pemeriksaan imigresen.
“Saya harap kod QR menyelesaikan masalah kesesakan pekerja terutama di kaunter imigresen,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sementara itu, Raja Mohammad Haziq Jaafar, 30, yang bekerja di syarikat biodiesel di Tuas turut berharap sistem baharu itu dapat mengatasi isu kesesakan terutama pada waktu puncak di KSAB dan BSI.
“Pelaksanaan sistem baharu ini bagus, sebab di Singapura memang telah dibuat. Jadi, tidak menjadi masalah kepada penunggang motosikal.
“Dengan menggunakan sistem kod QR seolah-olah telefon menjadi pasport, hanya menunjukkan kod pada skrin dan mesin pengimbas, seterusnya keluar semua maklumat yang ada dalam pasport,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati, pelaksanaan kod QR di KSAB di Laluan Kedua (LinKedua), dekat sini berjalan lancar.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Zamri Mat Zain meninjau kelancaran pelaksanaan sistem itu di KSAB, semalam yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Ismail Mokhtar.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan tempoh percubaan selama tiga bulan penggunaan sistem imbasan kod QR akan dilaksanakan di BSI dan KSAB bermula semalam.


































