Kim Pan Gon ketika mengendalikan sesi latihan kem harimau Malaya di Wisma FAM.- Ihsan FAM
PETALING JAYA: Harimau Malaya meletakkan harapan tinggi untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad kebangsaan apabila dijadual menentang Kyrgyzstan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, 6 Jun ini.
Menurut Utusan Malaysia, skuad kebangsaan pastinya mengharapkan sentuhan magis daripada jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi merencana strategi dan taktikal terbaik dalam misi mendapatkan kemenangan di tempat lawan.
Bagaimanapun, berdasarkan rekod Harimau Malaya beraksi di tempat lawan sepanjang 2024 menyaksikan nasib tidak menyebelahi pasukan apabila sehingga kini masih gagal mencipta kemenangan.
Kali terakhir Malaysia melakar kemenangan di tempat lawan sewaktu menewaskan Chinese Taipei 1-0 bagi kejohanan yang sama pada 21 November lalu.
Selepas itu, hanya seri dan kekalahan menghiasi keputusan perlawanan skuad kebangsaan setiap kali beraksi di luar gelanggang keramat Stadium Nasional Bukit Jalil.
Berdasarkan pertemuan menentang Kyrgyzstan di kejohanan itu sebelum ini, skuad kebangsaan terpaksa beraksi dengan penuh debaran apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mencipta kemenangan 4-3.
Kyrgyzstan merupakan pasukan terbaik ke-100 dunia berbanding Harimau Malaya di tangga ke-138 dan mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, Pan Gon berharap kejutan dapat dicipta.
“Seperti semua tahu, rekod pasukan di tempat lawan tidak bagus. Kita hanya menang dua perlawanan daripada lapan. Kita menang ketika menentang Myanmar dan Chinese Taipei dengan kemenangan 1-0 sahaja.
“Kita tidak kuat di tempat lawan, kita mengharapkan kejutan dan keajaiban. Semestinya kami lakukan yang terbaik,” kata Pan Gon kepada pemberita baru-baru ini.
































