Dr. Joachim (kiri) yang mewakili Ketua Menteri bergambar kenangan bersama Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank (tiga dari kanan); Adlis Khairil Sazli Mohd. Zain, Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (dua dari kanan), dan Datin Fauziah Titingan, Pengarah Wilayah Agrobank Sabah (kanan) pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Komuniti Cashless Pentas Terbuka, Pekan Kundasang, hari ini.
RANAU: Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk membudayakan
pembayaran tanpa tunai (cashless payment) untuk mengupayakan terimaan hasil negeri seperti pembayaran lesen, permit serta kemudahan awam melalui kaedah tanpa tunai, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, antara inisiatit itu termasuklah Aplikasi Sabah Pay yang dilancarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation) dan inisiatif terbaharu iaitu YONO (You Only Need One).
“Ketika penularan pandemik COVID-19, telah memaksa masyarakat untuk menyakinkan diri menggunakan aplikasi mudah alih atau mobile app melakukan pembayaran.
“Penggunaan Aplikasi Sabah Pay sendiri telah berjaya mengumpul sebanyak RM46 juta sehingga 31 Oktober 2023.
“Surat pekeliling telah dikeluarkan pada 1 Disember 2022 oleh Kementerian Kewangan Negeri sebagai panduan untuk agensi-agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan C2G (Customer To Government) dan B2G (Business To Government). Antara mod pembayaran yang diterima adalah Kad Kredit, Kad Debit,Kad Caj, eDompet dan khidmat perbankan internet yang tersedia,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Program E-Duit Desa Komuniti Cashless di Tamu Pagi Kundasang, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Tmbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Ketua Menteri berkata, semua usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri ini adalah demi kesejahteraan rakyat sekali gus membuktikan keprihatinan bagi membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat.
“Transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan transaksi harian tetapi juga menyelesaikan isu lama seperti kekurangan mesin ATM di kawasan
luar bandar.
“Justeru, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada
kesejahteraan rakyat sejagat, Kerajaan Negeri dan Persekutuan sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia. Dalam hal ini, usaha dipergiatkan untuk menyiapkan sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh negeri melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam kadar segera,” katanya.
Mengenai program itu, Hajiji berkata, inisiatif Agrobank menerusi program ini selaras dengan visi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penggunaan dan akses kepada pembayaran digitalisasi di seluruh negeri.
“Dengan menerima pakai pembayaran digital, ia dapat meningkatkan dan pemantapan ke arah ekonomi yang lebih cekap dan telus. Justeru, usaha berterusan Agrobank memperkenalkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di Sabah, amat dihargai.
“Saya berharap Program Komuniti Cashless Kundasang yang bertujuan
mengisytiharkan Ranau sebagai wilayah tanpa tunai dengan mendidik penduduk
tempatan Ranau mengenai penggunaan pembayaran online dan QR, dapat mencapai matlamat dan mendapat sokongan daripada penduduk di daerah ini.
“Pada hemat saya, ini adalah antara inisiatif yang amat baik dan saya berharap Agrobank akan sentiasa merangka dan memperluaskan lagi inisiatif pembayaran tanpa tunai ini ke kawasan-kawasan lain di Sabah,” katanya.
Turut hadir, isteri Dr. Joachim, Datin Seri Linda Ewit dan para pemimpin masyarakat.
































