PETALING JAYA: Pemain boling wanita negara, Sin Li Jane muncul juara Greater Nashville Classic di Pusat Boling Smyrna, Tennessee di Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan Cherie Tan dari Singapura 257-208 dalam aksi final, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, ebagai satu-satunya pemain yang memenangi dua gelaran musim ini, Li Jane kini mendahului dalam saingan Anugerah Pemain Terbaik Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) setelah menjuarai Terbuka Journal Rockford pada 11 Mei.
“Cherie merupakan lawan yang hebat. Saya tahu bila-bila masa sahaja akan berdepan dengannya. Pada masa itu markah pasti tinggi dan perlawanan akan sengit. Saya hanya fokus untuk membuat lontaran yang terbaik.
“Meraih gelaran (Pemain Terbaik PWBA) sudah tentu sesuatu yang hebat, namun saya tidak memikirkan sangat tentang itu. Jika ia benar-benar berlaku, ia sudah tentu luar biasa,” katanya Li Jane di laman web PWBA.
Untuk rekod, kemenangan pertama Li Jane dalam aksi Jelajah PWBA yang kompetitif itu ialah pada 2017 apabila dia meraih gelaran di Terbuka Lincoln.
Pemenang pingat emas acara berpasukan Kejohanan Boling Wanita Dunia 2017 itu juga pernah meraih naib juara pada Terbuka Greater Detroit PWBA 2016, Terbuka Wichita PWBA 2017 dan USBC Queens 2019.






























