Lee Zii Jia memaksa Viktor Axelsen bermain rubber set sebelum dimenangi pemain Denmark itu dalam final perseorangan Malaysia Masters di Axiata Arena, Isnin. – Utusan/Shiddieqiin Zon
PETALING JAYA: Naib juara Malaysia Masters 2024, Lee Zii Jia mengakui bahawa kehebatan jaguh nombor satu dunia, Viktor Axelsen sememangnya sukar untuk disaingi.
Menurut Utusan Malaysia, Zii Jia berkata, beliau masih banyak perlu berlatih dan melakukan persediaan yang rapi bagi menandingi kehebatan beliau menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Di sebalik perlawanan akhir Malaysia Masters 2024 sengit yang disajikan oleh kedua-dua pemain Isnin, Zii Jia masih belum mampu untuk menghalang bintang Denmark itu daripada menjuarai saingan berstatus Super 500 itu.
Perlawanan akhir yang dipenuhi oleh penonton tanah air di Axiata Arena, Isnin menyaksikan anak jati Kedah itu kelihatan bergelut untuk mendapatkan mata biarpun lawannya sudah mencecah 30 tahun itu.
Pemain nombor 10 dunia itu bagaimanapun mempunyai kelebihan yang tinggi berikutan Axelsen bergelut dengan prestasinya merangkul gelaran pada tahun ini.
Zii Jia menamatkan kempen kejohanan Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di ibu negara itu dengan kekalahan rubber set 6-21, 22-20, 13-21 Isnin.
Ini merupakan kekalahan kedua pemain perseorangan berstatus profesional itu dalam tangan Axelsen musim ini selepas turut mengalami nasib yang sama ketika saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, awal bulan lalu.
“Tiada perubahan yang besar dalam permainan saya kali ini. Saya sudah memberi sepenuh tenaga saya namun ini keputusan yang sama mampu terima.
“Semua sedia tahu walaupun saya cergas sepenuhnya belum tentu saya boleh mengatasi dia (Axelsen). Dia seorang pemain yang berpengalaman dan saya sudah beri yang terbaik.
“Semestinya saya tidak berpuas hati dengan aksi saya hari ini (Isnin) dan saya terima dengan hati yang terbuka bahawa ini bukan hari saya,” kata Zii Jia.
Meskipun gagal merangkul gelaran kedua berturut-turut, lebih-lebih lagi sebagai pemain tuan rumah, Zii Jia mempercayai beliau berada di landasan yang tepat dalam usahanya meningkatkan prestasi ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya masih dalam landasan serta masih mencari rentak. Saya tidak jangkakan saya akan bermain perlawanan berturut-turut dan di pentas final begini. Bagaimanapun saya masih ada baki tiga kejohanan sebelum Olimpik.
“Ini satu pengalaman yang bagus untuk saya dalam tempoh dua minggu ini, banyak yang saya belajar. Saya harap dapat bawa perkara positif ini ke kejohanan seterusnya menuju ke Olimpik Paris,” katanya.
Kegagalan Zii Jia merangkul gelaran di laman sendiri memanjangkan lagi kemarau Malaysia untuk menjuarai acara perseorangan lelaki di Masters Malaysia sejak 2016.
Susulan kemenangan pada aksi final Isnin, Axelsen akhirnya berjaya merangkul gelaran sulungnya musim ini serta yang kedua di Masters Malaysia selepas menjuarai pada edisi 2018.
Untuk rekod, kali terakhir wakil perseorangan lelaki negara muncul juara di Masters Malaysia menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2016.
Chong Wei juga kekal sebagai pemain perseorangan lelaki negara yang terakhir merangkul gelaran di laman sendiri ketika menjuarai Terbuka Malaysia pada 2018.
Zii Jia akan meneruskan jelajahnya pada Terbuka Singapura minggu depan, Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun) dan Terbuka Australia (11 hingga 16 Jun).


































