Seorang maut selepas penerbangan Singapore Airlines dari London (Heathrow) ke Singapura mengalami pergolakan udara. – Gambar Ihsan Pembaca CNA
PUTRAJAYA: Seramai sembilan rakyat Malaysia termasuk seorang anak kapal berada di dalam pesawat Singapore Airlines Penerbangan SQ321 disahkan cedera selepas pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand semalam.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, yang turut memaklumkan kesemua mangsa sedang menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami.
Menurut Wisma Putra, seramai 16 rakyat Malaysia berada di dalam penerbangan tersebut.
“Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital berkenaan dan sedang menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terlibat.
“Pada masa ini, enam orang rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga orang lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.
“Menurut kedua-dua hospital, semua mangsa rakyat Malaysia yang terlibat mengalami kecederaan fizikal dan dalaman, dan seorang rakyat Malaysia mengalami kecederaan kritikal tetapi dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wisma Putra, mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan, dan sedang menunggu laporan perubatan.
Kementerian Luar Negeri pada masa sama turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar semua mangsa yang cedera cepat sembuh dari insiden yang malang ini.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
Penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) dari London (Heathrow) ke Singapura berdepan gelora udara (turbulence) teruk sehingga menyebabkan seorang maut dan beberapa penumpang cedera, hari ini.
Syarikat penerbangan itu berkata, pesawat Boeing 777-300ER berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow, London pada pukul 10.38 malam, pada Isnin sebelum dilencongkan ke Bangkok dan mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada pukul 3.45 petang tadi, lapor Channel News Asia.






























