Sejumlah 747 pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ditempatkan ke semua negeri. – Gambar Hiasan
PUTRAJAYA: Sejumlah 747 pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ditempatkan ke semua negeri bermula bulan ini bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, pada masa sama, penempatan itu bertujuan memberikan latihan supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal yang mencukupi.
Jelasnya, ini penting agar mereka mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti serta dapat mengamal dengan selamat.
“KKM amat memahami cabaran yang dihadapi oleh petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja.
“Beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM turut mengarahkan semua Pengarah Hospital untuk memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara walaupun tahap pengisian pegawai perubatan siswazah (PPS) di hospital-hospital masih dalam proses penambahbaikan.
Selain itu, KKM turut memutuskan untuk membuka penempatan PPS baharu bagi lantikan siri ketiga ke beberapa lagi hospital lain selain daripada hospital negeri.
Katanya, keputusan ini dibuat memandangkan peratus pengisian slot PPS tersebut bertambah baik selepas tawaran penempatan itu dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei lalu melibatkan 792 orang calon.
“Sebelum ini, KKM memutuskan pada awal tahun ini agar penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS didapati semakin menurun dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan.
“Sehingga April lalu, KKM melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS melibatkan seramai 701 orang pada siri lantikan pertama dan 803 orang pada siri lantikan kedua,” katanya.
Bagi siri lantikan seterusnya, kata KKM, penempatan PPS di hospital-hospital lain akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon yang diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta faktor-faktor lain yang berkaitan.






























