KUALA LUMPUR : Polis mengesyaki motif serangan bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini 9 Mei lalu disebabkan salah faham berhubung perniagaan.
Terbaharu, seorang suspek lelaki tempatan ditahan malam tadi menjadikan tangkapan keseluruhan seramai enam orang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, terdahulu polis membuat lima tangkapan.
“Pagi ini ada tambahan lagi seorang jadi enam dan ada dua lagi masih bebas.Saya ingat ada dua atau tiga orang lagi yang perlu ditangkap.
“Dua daripada suspek yang ditahan akan disambung reman bersabut siasatan kes merusuh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara ahli perniagaan berkenaan dan tidak melibatkan unsur-unsur kongsi gelap.
Katanya, semua individu yang ditahan mempunyai peranan masing-masing dan ada antara mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau.
“Ini kes terpencil, salah faham antara ahli perniagaan sahaja. Ada antara mereka yang plan (rancang), ada yang upah, ada yang membaling. “Suspek baharu akan direman hari ini,” katanya.
Terdahulu, sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, terbakar selepas dipercayai dibaling dengan bom petrol.
Sebelum ini, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhampiran premis terbabit tular di media sosial, semalam.
Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat yang turut tular di media sosial pula menunjukkan premis berkenaan terbakar dengan terdapat orang awam membantu memadamkan kebakaran.
Berdasarkan tarikh dan masa yang terdapat pada rakaman video CCTV terbabit, kejadian itu berlaku 2.18 pagi, 9 Mei lalu.
































