Tengku Zafrul Abdul Aziz
PETALING JAYA: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Doha, Qatar membuka potensi eksport dan perkhidmatan bernilai RM700 juta, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, dalam lawatan kerja Perdana Menteri semalam, kementeriannya turut mengadakan Mesyuarat Meja Bulat bersama 46 pemimpin industri Qatar dari 36 syarikat.
Katanya, masing-masing mewakili sektor seperti makanan dan pemprosesan; farmaseutikal; bahan binaan; hartanah dan pembinaan; pendidikan; hospitaliti dan penjagaan kesihatan; kewangan; penerbangan; runcit/pengedaran dan ekonomi digital.
“Objektif penemuan ini adalah bagi mendengar isu-isu yang dihadapi oleh industri secara terbuka dan objektif. Selain itu, Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Qatar, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan yang ditunjukkan pemimpin industri Qatar terhadap Malaysia.
“Saya yakin mesyuarat seperti ini akan terus memperkuatkan kerjasama antara MITI dan pemain industri, sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam arena global,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar sebagai sebahagian misi untuk meningkatkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan berpotensi untuk kelompok industri di negara teluk tersebut.
Pada tahun lalu, nilai dagangan dua hala Malaysia dan Qatar direkod RM4.2 bilion dengan negara Arab Teluk itu menjadi rakan kongsi perniagaan kelima terbesar Malaysia.
Antara Januari hingga Mac tahun ini, jumlah dagangan Malaysia dan Qatar meningkat 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion berbanding RM514.9 juta pada tempoh sama 2023.
































