KPDN menyita sebanyak 153 keping cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan dalam empat serbuan di sekitar Lembah Klang pada 9 Mei lalu.
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita sebanyak 153 keping cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan dalam empat serbuan di sekitar Lembah Klang pada 9 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan KPDN Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur itu melibatkan tiga buah premis di Petaling Jaya, Selangor dan sebuah di Kepong, Kuala Lumpur.
Katanya, serbuan dilakukan hasil aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal oleh pihak KPDN.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pasukan serbuan menemukan sejumlah 153 keping cermin hadapan kenderaan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
“Kesemua cermin hadapan kenderaan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 20 dan 31 tahun bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.
Katanya, hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.
Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salap cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak lenih RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Selain itu ujarnya, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
Justeru itu, beliau memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.
Ini terutamanya berkaitan barangan alat ganti kenderaan seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.


































